Wednesday, March 16, 2011

Pendingin hawa

Kesalahan hukum DM sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan pengguna bahasa Melayu. Hukum D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur penerang pula hadir pada kedudukan kedua. Salah satu kesalahan hukum DM yang dianggap betul adalah penghawa dingin yang sebenarnya adalah pendingin hawa. Kebanyakan daripada kita menganggap bahawa penghawa dingin itu adalah yang betulnya. Kerana hawa itu merupakan unsur menerang bagi pendingin iaitu sejenis alat. Oleh itu, perkataan pendingin mestilah berada di hadapan.


Perkara  seperti ini jika terus-terusan dibiarkan tanpa membetulkannya orang ramai akan menganggap benda yang salah itu sebenarnya betul. ini kerana orang ramai masih tidak peka terhadap penggunaan bahasa Melayu itu sendiri. Contohnya jika kanak-kanak mendengar orang dewasa menyebut pendingin hawa itu sebagai penghawa dingin, tidak hairanlah suatu hari nanti mereka akan terus menganggap perkara tersebut adalah betul. Melalui akhbar Kosmo yang bertarikh 16.3.2011 juga saya dapat mengesan penggunaan perkataan penghawa dingin ini:
         
Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.

Melalui petikan akhbar ini saya dapat lihat bahawa penggunaan perkataan penghawa dingin telah digunakan secara meluas berbanding perkataan pendingin hawa. Perkara seperti ini berlaku kerana kebanyakan masyarakat menganggap penggunaan perkataan penghawa dingin itu adalah yang sebetulnya. Antara kesalahan lain yang melibatkan kesalahan hukum DM adalah seperti:
salahBetul

Cili sos
Mini perpustakaan
Zaleha Restoran
Jaya Klinik

Sos cili
Perpustakaan mini
Restoran Zaleha
Klinik Jaya


Lagu

Lagu Kempen Membaca
Membaca Gaya Wawasan

Gubahan: Kusham, Nada Studio
Lirik: SMDee, Canang Adcalls Sdn Bhd
Diterbitkan oleh: Canang Adcalls Sdn Bhd

Awal suruhan ialah membaca
Menuntut ilmu disuruh budaya
Inilah teladan sepanjang masa
Gayakan hidup dengan membaca

Apalah nama andai tanpa ilmu
Apalah mahkota permatanya palsu
Tanpa membaca cacatlah minda
Tanpa ilmu ke manalah kita

Jika ilmu penuh di dada
Bila bergaya dengan membaca
Dunia sempit menjadi luas
Tempah kejayaan tiada terbatas
Negara yang kecil tinggi martabat
Kerana ilmu, negara berdaulat

Mari kawan kita membaca
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca
Inilah perjuangan, sambutlah seruan
Jadikan Membaca Gaya Wawasan

Everybody!
Take a book and read
To gain knowledge, everyone has to read
Let's reach out, open up your mind
Let's make reading, a lifestyle of Wawasan

Jika dilihat melalui lirik lagu di atas terdapat percampuran bahasa dalam lagu ini iaitu penggunaan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Pencampuran bahasa ataupun bahasa rojak ini bukan sahaja terjadi dalam pertuturan dan penulisan tetapi dalam lirik lagu juga terdapat pencampuran bahasa. Di sini kita dapat lihat bahawa bahasa Inggeris tidak lagi dapat dipisahkan dengan masyarakan kita kerana bahasa Inggeris sudah menjadi kebiasaan bagi kita semua. Melalui lirik lagu ini juga kita dapat melihat banyak juga perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang digunakan di rangkap terakhir lirik lagu ini. Mengapa lirik lagu kempen membaca ini tidak menggunakan bahasa Melayu secara keseluruhannya dan kenapa perlu menyelitkan bahasa Inggeris di rangkap terakhir lagu ini? Perkara seperti ini juga akan mencemarkan bahasa Melayu kita kerana bahasa Melayu kita sesuka hati sahaja dicampur dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris.

Monday, March 14, 2011

Jenama

Semasa membeli barang di sebuah  kedai runcit di hadapan kampus saya mendengar seorang pelanggan di kedai tersebut bertanyakan kepada pekedai tersebut. Pelajar tersebut bertanya sama ada maggi jenama mi sedap ada ataupun tidak. Kemudian pekedai tersebut menjawab bahawa magge itu juga merujuk kepada jenama. Jenama maggi atau mi sedap itu sebenarnya adalah tergolong dalam golongan mi segera. Antara jenama mi segera yang lain adalah seperti Cinta dan Pama. Kebanyakan masyarakat hari ini selalu tersalah anggap antara benda ataupun jenama kerana perkara itu sudah menjadi kebiasaan dan kesalahan yang dilakukan juga jarang ditegur oleh orang lain. Oleh itu, mereka menganggap bahawa benda yang mereka sebutkan itu adalah betul. Benda lain yang selalu menggunakan jenama untuk merujuk sesuatu benda adalah seperti colgate untuk merujuk kepada ubat gigi, tapawer untuk merujuk kepada bekas plastik, dan lain-lain lagi.  Disini juga kita dapat melihat bahawa banyak lagi masyarakat kita yang tidak mengetahui hal-hal seperti ini dengan tidak dapat membezakan jenis barang dengan jenama barang tersebut. Golongan pelajar juga tidak terkecuali melakukan kesilapan seperti ini.


Berbudi Bahasa Budaya Kita

Sopan santun dan berbudi bahasa adalah digalakkan kepada semua rakyat terutamanya masyarakat berbangsa Melayu untuk menunjukkan kelebihan bnagsa itu sendiri. Kita mestilah mengamalkan sikap bersopan santun dan hormat menghormati kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita akan mudah disanjungi oleh orang lain jika kita mengamalkan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa ini. Pada suatu petang saya pergi ke pekan Tanjong Malim untuk membeli sedikit barang. Semasa menunggu bas saya didatangi oleh dua orang perempuan berketurunan Cina. Mereka bertanyakan kepada saya mana letaknya Balai Polis Tanjong Malim. Antara dialog yang digunakan adalah seperti berikut:
Perempuan 1: minta maaf cik, nak tumpang tanya boleh.
Rakan saya: iye cik boleh je, nak tanya apa?
Perempuan1: kami nak tau balai polis Tanjong Malim dekat mana.
Saya: o senang ja(sambil memberitahu kedudukan balai polis Tanjong Malim).
Perempuan 2: terima kasih ye cik.
Saya dan rakan: sama-sama

Melalui dialog di atas kita dapat lihat bahawa dua orang perempuan berketurunan Cina tersebut amat bersopan santun ketika hendak bertanyakan sesuatu kepada saya dan rakan saya, kami juga turut menjawab soalan yang diajukan oleh dua orang perempuan Cina tersebut dengan sopan santun. Melalui situasi ini kita dapat lihat bahawa sekiranya kita bersopan santun dan berbudi bahasa walaupun untuk bertanyakan sesuatu pasti kita akan menerima jawapan yang agak memuaskan dan orang lain juga akan mudah menghormati kita jika kita terlebih dahulu menghormati orang lain.

Sombong

Semasa dalam lif untuk balik ke bilik saya mendengar dua orang pelajar di belakang saya sedang mengata atau mengutuk seseorang. Ketika itu dalam lif tersebut terdapat 6 orang pelajar termasuklah saya. Antara dialog yang sempat saya dengar adalah seperti berikut:
Pelajar 1: ko tau tak minah (bukan nama sebenar) tu asyik pakai baju yang sama ja tiap-tiap minggu. Tak malu kat orang ka, dah la selekeh ja aku tengok.
Pelajar 2: aish ko ni jangat la nak kata orang macam tu, macam la ko tu bagus sangat.

Disini saya dapat lihat bahawa pelajar 1 tersebut terlalu merendah-randahkan orang lain. Pelajar tersebut juga tidak wajar untuk mengata atau mengutuk orang lain di dalam lif kerana di dalam lif itu juga terdapat orang lain yang mendengar perbualan mereka itu. Perkara seperti ini tidak wajar diamalkan oleh orang lain.


Salah faham

Setiap orang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tersalah kata juga sering kita lakukan dalam kehidupan kita. Contohnya semasa di kolej kediaman saya bertanyakan kepada rakan serumah saya mengenai internet. Antara dialog tersebuat adalah seperti berikut:

Saya : dapat tak internet dalam bilik?
Rakan serumah: internet lembap tapi slow sikit la.

Di sini kita dapat lihat bahawa unsur lewah telah berlaku kerana perkataan slow dan lembap tersebut merujuk kepada maksud yang sama tetapi bahasa yang digunakan sahaja berbeza iaitu perkataan lembap dalam bahasa Melayu manakala perkataan slow pula dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya rakan rumah saya ini tersalah cakap. Yang sebenarnya dia mahu menyatakan bahawa “internet dapat tapi lembap sikit la”. Inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita dan masyarakat kita juga selalu menggunakan bahasa rojak iaitu selalu mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.



Hot Fm

Setiap pagi ketika menaiki bas untuk pergi ke dewan kuliah pemandu bas akan memasang radio. Pada satu pagi ketika mendengar siaran radia Hot Fm, juruhebahnya iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana membincangkan topik “Rumahku Syurgaku”. Mereka mendapat satu pangilan telefon daripada seorang pendengar kemudian sedang mereka bersembang juruhebah Faizal Ismail bertanyakan satu soalan kepada pemanggil ini dan soalannya berbunyi “ Berapa ramaikah penduduk yang tinggal dalam rumah anda?” melalui soalan ini saya dan mungkin pelajar yang lain  dapat  mengesan kesalahan yang dilakukan oleh juruhebah tersebut. Ini kerana perkataan penduduk tersebut tidak sesuai digunakan untuk bertanyakan mengenai bilangan orang yang tinggal yang ada di dalam rumah pemanggil tersebut. Soalan yang sebetulnya mestilah “ Berapa ramai penghuni yang tinggal dalam rumah anda?” perkataan penghuni lebih sesuai digunakan untuk bertanyakan mengenai orang yang tinggal dalam sesebuah rumah. Perkataan penduduk pula selalunya digunakan untuk orang yang tinggal dalam sebuah kampung, negeri ataupun Negara. 



Saturday, March 12, 2011

Dialek Kedah

Setiap negeri selalunya mempunyai bahasa atau dialeknya yang tersendiri, contohnya dialek yang digunakan oleh negeri-negeri sebelah utara iaitu kedah. Tetapi terdapat juga kekangan untuk menggunakan dialek negeri kita sendiri apabila kita menetap atau berhijrah ke negeri lain seperti Perak. Ini kerana mungkin orang negeri Kedah sahaja dapat memahami loghat negeri Kedah. Contohnya penduduk negeri Selangor  mungkin tidak memahami sesetengah perkataan yang dituturkaan dalam loghat negeri Kedah. Ini berlaku kepada saya sendiri. Contohnya boleh dilihat dalan situasi berikut apabila saya hendak makan di kolej kediaman:
Saya : adik tolong ambik toyu sat.
Rakan serumah: hah toyo, apa tu akak?
Saya: toyu tu maksudnya kicap la.
Rakan serumah: o kicap ka, kn senang kalau cakap kicap dari awal.
Saya : akak lupa la kata adik bukan orang Kedah macam akak.

Dalam situasi ini kita dapat lihat bahasa tidak semua perkataan dalam loghat negeri kita dapat difahami oleh penduduk negeri lain. Oleh itu, kita perlulah mengenali terlebih dahulu latar belakang dan dari mana orang yang kita bercakap itu datang.


Lapaq gila

Setiap kali habis kelas pukul 10.00 pagi saya dan empat rakan saya yang lain selalunya akan bersarapan di kantin yang terdapat di bilik kuliah Protn City. Pada hari Isnin yang lalu semasa berada dalam kelas rakan saya memberitahu kepada saya bahawa dia sangat lapar. Antara dialog yang kami gunakan ialah:

Rakan : weh lambat lagi la kelas ni nak habis, aku dah lapaq gila dah ni.
Saya : ala sabar-sabar la tak lambat da kelas nak habis.

Kalau kita perasan melaui dialog di atas, rakan saya menggunakan perkataan lapaq gila untuk memberitahu bahawa rakan saya itu sangat lapar. Perkataan gila di situ bukan merujuk kepada orang yang  tidak sioman tetapi sebagai unsur penegas untuk memberitahu bahawa dirinya sangat-sangat lapar, tetapi bagi mereka yang tidak faham pula mereka mungkin memikirkan perkara lain. Perkataan seperti ini janganlah selalu kita gunakan kerana mungkin orang lain akan tersalah tafsir apa yang kita katakan itu, tetapi pada situasi di atas mujurlah saya memahami maksud yang hendak disampaikan oleh rakan saya itu kerana kami selalu menggunakan perkataan gila itu sebagai unsur penegas atau untuk memberitahu sesuatu yang teramat sangat ataupun untuk menunjukkan darjah penghabisan. Ayat lain yang selalu digunakan juga adalah seperti perkataan  penat gila, susah gila dan bermacam lagi. Perkataan lapaq gila itu sepatutnya diganti dengan perkataan lain seperti sangat lapar dan bermacam lagi, ini kerana ayat tersebut lebih sesuai digunakan berbanding perkataan lapaq gila.


Gelaran

Gelaran atau panggilan merupakan salah satu daripada adab kita dalam berbasa kepada orang. Kita janganlah memanggil seseorang itu dengan gelaran atau panggilan yang tidak elok dan yang boleh menjatuhkan maruah orang lain. Semasa membeli makanan di sebuah kedai makan saya melihat dua orang pelajar sedang duduk di meja makan dan mereka mungkin sedang menunggu rakan mereka yang lain untuk makan bersama. Sambil menunggu untuk membayar makanan yang saya ambil itu saya sempat mendengar dua orang pelajar ini berbual-bual dan mungkin mereka agak marah dengan rakan mereka yang lambat. Antara perbualan mereka yang dapat saya dengar ialah:
Pelajar 1 : hai manalah minah dua ekor ni, jnji pukul brapa…
Pelajar 2: tu la jnji mcam haram gi, tak tau ka orang tengah lapar ni.

Apa yang dapat dilihat melalui dialog di atas ialah pelajar satu menggelarkan dan memberikan penjodoh bilangan minah dua ekor kepada rakan mereka itu yang sepatutnya menggunakan dua orang bukan dua ekor. Disini saya dapat melihat bahawa dua orang pelajar tersebut tidak dapat menjaga budi bahasa mereka ketika berada di tempat awam, ini kerana saya rasa ramai yang dapat mendengar perbualan mereka itu.

Seminar Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini

Pada 5 Mac 2011 telah diadakan satu seminar iaitu Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini yang diadakan di Auditorium utama UPSI. Seminar seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi meningkatkan pengetahuan para pelajar yang mungkin masih kurang pengetahuannya. Program ilmu seperti ini juga seharusnya diberikan sokongan oleh para pelajar kerana tanpa sokongan banyak pihak program ilmu seperti ini tidak dapat berjalan dengan lancarnya. Memalui seminar ini saya telah mendapat banyak ilmu berkaitan dengan hukum tatabahasa serta pembinaan ayatnya. Banyak yang saya sangka betul sebelum ini jelasnya adalah salah sama sekali. Program seperti ini dapat memberikan banyak pengalaman dan lmu pengetahuan yang tidak ternilai buat diri saya serta rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Lirik lagu

Lirik lagu mai cek mai

mai cek oi mai cek mai
kita ke negeqhi Kedah
mai oi bagi qhamai
jamu nasik kawah c/0

naik kapai teqhebang
tuqhun kepala batayh
makan toksah bimbang
kami banyak beqhayh

ikut lebuhqhaya
teqhuih ke Kayu Hitam
jaga cek oi jaga
qheta meneqhu-neqhang
qheta meneqhu-meneqhang

mengkala mai kedah
singgah lah ke Pekan Qhabu
minum nira nipah
makan emping keqhabu

kot lah qhasanya penat
jom pi ke langkawi
langgah ayaq gamat
minumlah ayaq tongkat ali
langgah ayaq gamat
muka naik seqhi

Kedah sudahla maju
tak lagi macam lah dulu
qhumah seqheba baqhu
kenduri ada selalu

tengok sana sini
pembangunan seqhata negeqhi
ada mesin padi
ada kelang besi

melawak oqhang Kedah
jangan cepat teqhasa
toksah dok kesah
bekawan cepat meseqha 2x

ulangc/o

kot lah qhasanya penat
jom pi ke langkawi
langgah ayaq gamat
minumlah ayaq tongkat ali
langgah ayaq gamat
muka naik seqhi

Kedah sudahla maju
tak lagi macam lah dulu
qhumah seqheba baqhu
kenduri ada selalu


Nyanyian lagu di atas adalah dalam loghat negeri kedah. Negara kita mempunyai banyak loghat yang menunjukkan identiti bagi penduduknya. Lagu ini juga mungkin menjadi kebangggaan rakyat negeri kedah kerana lagu ini memperjuangkan loghat negeri kedah. Setiap loghat negeri mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Terdapat banyak loghat negeri Kedah digunakan dalam lirik lagu ini seperti mai, qhumah, toksah, ayaq dan banyak lagi. Melaui lirik lagu ini juga kita dapat melihat banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri Kedah yang dipaparkan melalui lirik lagu ini seperti Pulau Langkawi, Pekan Rabu, Bukit Kayu Hitam dan banyak lagi.

Kesilapan ejaan

Kesilapan ejaan tidak dapat dinafikan sering berlaku dalam penulisan di kalangan para pelajar mahupun bagi  individu tertentu. Tetapi kesilapan ejaan mestilah dielakkan jika perkara tersebut dapat menarik perhatian orang awam. Contohnya semasa berjalan-jalan di sekitar perpustakaan saya melihat satu poster yang tertulis “ Rombongan ke Puala Langkawi”. Perkataan Puala tersebut mungkin mengalami kesalahan ejaan kerana tempat tersebut tidak pernah ada dalam Negara kita melainkan “Pulau Langkawi”. Kesalahan seperti ini perlulah dielakkan kerana pembaca mungkin akan tersalah faham mengenai destinasi yang ingin disampaikan oleh penulis tersebut.



Pengaruh filem

Pengaruh filem atau drama sudah menjadi perkara biasa bagi bagi kebanyakan masyarakat kita. Kebanyakan individu akan terikut-ikut akan adegan atau perkataan-perkataan yang terdapat dalam drama atau filem yang mereka minati. Contohnya semasa mendengar ceramah ilmu di KHAR bersama ustaz Akhil Hayy sempena Pesta Buku dan Infomasi, beliau turut menggunakan perkataan-perkataan atau adegan yang terdapat dalam sebuah filem yang agak popular sekarang iaitu filem “ Hantu Kak Limah Balik Rumah” untuk menarik minat pelajar. Antara adegan yang terdapat dalam filem tersebut yang diikuti oleh beliau ialah seperti “ sape setuju sila angkat tangan macam saya” (sambil mengangkat tangan seperti adegan yang terdapat dalam filem tersebut)semasa menanyakan pendapat kepada para pelajar.




Mangkuk

Ketika sedang menunggu bas untuk pulang ke kolej kediaman saya terdengar tiga orang pelajar sedang berbual-bual. Bukan niat mahu menjaga tepi kain orang tetapi saya terdengar kerana mereka bertiga ini berada agak dekat dengan tempat saya berdiri. Saya dengar pelajar-pelajar ini sedang mengata atau mengutuk seseorang dengan kata-kata yang agak kesat. Antara perbualan mereka yang sempat saya dengar adalah seperti berikut:
Pelajar 1: korang tau tak si mangkuk hayun tu tak datang pun discasion semalam.
Pelajar 2: habis tu bahagian dia siapa yang siapkan.
Pelajar 1: dah sah-sah la aku yang kena siapkan. Mangkuk hayun betul la minah tu. Geram aku.

Disini saya melihat pelajar itu berada dalam keadaan agak marah dan sebab itu jugalah pelajar  1 ini menggelarkan rakannya yang tidak hadir dalam perbincangan kumpulan tersebut sebagai mangkuk  hayun. Tetapi gelaran sebegitu tidak wajar diberikan kepada orang sesuka hati kerana pelajar yang dimarahi  tersebut juga turut mempunyai namanya sendiri. Mengapa tidak memanggil sahaja nama sebenarnya.

Monday, February 28, 2011

Semua pelajar-pelajar

Ketika sedang menonton televisyen  di rumah iaitu untuk rancangan Bicara Siswa di tv1 saya sempat mengenal pasti kesalahan yang ditutrkan oleh pengacaranya pada ketika itu. Antara kesalahan yang dilakukan oleh pengacara rancangan Bicara Siswa tersebut ialah :
                Semua pelajar-pelajar  di kebanyakan IPTA …………………
Kesalahannya yang saya dapat kesan di sini ialah perkataan semua pelajar-pelajar. Ayat ini menunjukkan unsur lewah. Ini kerana perkataan semua pada awalnya telah menunjukkan bilangan yang  banyak dan perkataan pelajar-pelajar juga telah menunjukkan bilangan yang banyak. Jika hendak menggunakan ayat yang betul salah satu daripada perkataan tersebut haruslah disingkirkan. Pembetulannya adalah seperti berikut:
                Semua pelajar IPTA  atau Pelajar-pelajar IPTA

               

Amalan Berterima kasih

Amalan berterima kasih adalah satu amalan yang mulia. Amalan berterima kasih  ini selalu saya dan pelajar-pelajar UPSI yang lain lakukan setiap kali menaiki bas untuk ke dewan kuliah.  Saya sendiri tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada pemandu bas yang selalu membawa saya untuk ke dewan kulian. Saya sangat berterima kasih kepada pemandu-pemandu bas ini kerana tanpa mereka saya tidak dapat sampai ke dewan kuliah kerana saya tidak mempunyai pengangkutan lain  selain menaiki bas sahaja untuk ke dewan kuliah: Contohnya dapat dilihat melalui situasi berikut yang saya lihat melalui pelajar yang lain.
Pelajar A              :  Terima kasih pak cik
Pemandu bas    :  Sama-sama
Pelajar B              : Terima kasih ya
Pemandu bas    : Sama-sama

Rumusannya di sini kita janganlah terlalu sombong dan malas untuk berterima kasih kepada orang yang telah banyak membantu kita.

Sarapan pagi

Ketika menunggu  seorang rakan untuk makan di kantin dewan kuliah Proton City saya dan rakan-rakan yang lain sempat berbual-bual sementara menunggu rakan  yang seorang lagi tiba dan ketika sedang berbual-bual itu salah seorang rakan saya terpandang makanan yang terhidang di atas meja makan dan rakan saya itu berkata “ mak ai ikan bilis pa la besaq penyepak”  apabila terpandang ikan bilis yang agak besar saiznya berbanding ikan bilis yang selalu dijumpai dan ikan bilis tersebut  diambil bersama nasi lemak . Ayat yang digunakan iaitu “ikan bilis besar penyepak” adalah untuk menunjukkan bahawa saiz ikan bilis tersebut agak besar berbanding kebiasaannya.

Monday, February 14, 2011

Kata-kata kesat

Apabila kita sedang marah terhadap seseorang itu pelbagai perkataan dan gelaran yang tidak diduga akan terkeluar dari pertuturan seseorang. Contohnya seorang rakan saya sedang marah kepada seseorang yang selalu menyusahkan hidupnya. Antara bicaranya yang sempat saya dengar adalah seperti berikut:
Aku benci betul la dengan orang tua tu (merujuk kepada seseorang yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi) tak habis-habis nak menyusahkan hidup orang. Awat dia fikir dia tu pandai senang-senang ja dia nak arah-arah orang. Bodoh betul la orang tua tu. Dah tu semua kerja dia kita lak nak kena buat.
Itulah jadinya jika kemarahan menyelubungi diri kita kerana dalam keadaan marah kita sudah tidak boleh berfikir secara rasional dengan menggunakan kata-kata yang lembut. Namun dalam apa jua keadaan sekalipun kita haruslah menjaga tutur kata kita.



Loghat daerah

Loghat daerah adalah lambang identiti bagi penduduk sesuatu daerah. Apabila balik kampung pelbagai loghat daerah dapat didengari. Walaupun berada dalam negeri yang sama iaitu negeri Kedah, loghat yang digunakan adalah berlainan mengikut daerah masing-masing contohnya perbezaan loghat bagi daerah Pendang dan Padang Terap. Walaupun jarak perjalanan antara dua daerah ini hanyalah 30 minit sahaja tetapi loghatnya tetap tidak sama. Semasa berkunjung ke rumah kawan saya di Padang Terap saya sempat mendengar perbuan kawan saya itu bersama-sama tiga orang rakannya yang lain dan ada diantara  perkataan yang digunakan oleh mereka saya sendiri tidak memahaminya. Contohnya seperti:
Daerah Padang Terap
Daerah Pendang
Bahasa Baku
Moha
Hampa
Kamu
Mu
Hang
Awak
Gi
Pi
Pergi
Bilik a
Bilik ayaq
Bilik air
Tokse
Tak mau
Tidak mahu
Butir 
Sebijik
Sebiji



Kata-kata sanjungan

Pada petang Sabtu yang lepas saya dan beberapa orang rakan yang lain pergi ke pasar malam Tanjong Malim untuk mencari sedikit makanan dan barang-barang keperluan yang lain. Semasa berjalan-jalan mencari makanan sayang ternampak seorang peminta sedekah dan saya turut menghulurkan sedikit sedekah untuknya. Peminta sedekah itu mungkin sangat menghargai pemberian saya itu dengan berkata:
                Terima kasih nak, terima kasih cu, terima kasih cik, terima kasih puan, semoga rezeki anak akan semakin bertambah selepas ini.
Selain itu, peminta sedekah itu juga sempat untuk mendoakan saya. Pak cik tersebut memanggil saya dengan beberapa gelaran dan ini mungkin kerana pak cik tersebut tidak mengetahui status sebenar saya. Di sini kita dapat lihat peminta sedekah juga kebanyakannya lebih sopan dan berbudi bahasa berbanding orang-orang yang kaya dan berada yang kebanyakannya sombong dan megah dengan kekayaan yang dimiliki.

Saturday, February 12, 2011

Maaf

Semasa saya dan beberapa orang rakan yang lain sedang makan di kafe Proton City ada la seorang pelajar duduk di meja sebelah kami padahal atas kerusi dekat meja tersebut terdapat beg beberapa orang pelajar yang terlebih dahulu menempah untuk duduk di meja tersebut dan mungkin pelajar itu tidak perasan. Kemudian pemilik-pemilik beg yang ada kat meja itu pun sampai dan dia berkata kepada pelajar yang ada dekat meja tersebut:
Pelajar A: mintak maaf awak ni tempat kami, kami dah letak beg dah tadi.
Pelajar B: oh ya ka, mintak maaf la saya tak perasan pulak. Maaf ye.
Pelajar A: ok tak apa

Di sini saya ingin menekankan bahawa jika kita melakukan kesalahan kita mestilah segera memohon maaf dan mungkin kesalahan yang kita lakukan itu tidak disedari oleh kita. Jika kesalahan kita itu ditegur oleh orang lain kita janganlah malu-malu untuk memohon maaf.

Kebiasaan

Sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan individu sekarang untuk mencampurkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam pertuturan harian kerana perkara tersebut telah dianggap tidak bermasalah dan menjadi perkara biasa tanpa memikirkan tindakan tersebut sebenarnya menjatuhkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara kita dan perkara ini juga boleh dianggap sebagai kecurangan bahasa. Contohnya semasa berada di dalam kelas Semantik dan Pragmatik saya mendengar satu perbentangan kumpulan. Melalui perbentangan tersebut ada sahaja penggunaan bahasa Inggers yang digunakan walaupun perbentangan tersebut mengenai subjek bahasa Melayu iaitu Semantik dan Pragmatik. Contoh perkataan bahasa Inggeris yang saya dengar melalui  perbentangan kumpulan tersebut adalah seperti
                So
                Next
    Wait
Itu adalah sebahagiannya sahaja, jika diikutkan banyak lagi bahasa Inggeris yang selalu digunakan dalam pertuturan harian.  Jika perkara ini berlarutan tidak mungkin pada suatu hari nanti bahasa Melayu tidak lagi dapat berkembang.

Thursday, February 10, 2011

Papan tanda

Papan tanda adalah untuk panduan orang ramai, tetapi jika papan tanda yang diletakkan di tempat awam mempunyai kesalahan seperti kesalahan ejaan adakan wajar untuk terus dipaparkan kesalahan itu. Semasa dalam perjalanan ke perpustakaan saya ternampak dua papan tanda yang mempunyai kesalahan ejaan iaitu ‘ juka berlaku kesalahan’ yang sepatutnya jika berlaku kesalahan dan ‘ sila gunakan laluan sediada’, perkataan sediada itu sebenarnya perlu dieja secara berasingan iaitu sedia ada. Kesalahan-kesalahan seperti ini perlulah dielakkan.


Unsur lewah

Semasa menaiki kereta api untuk pulang ke Tanjung Malim saya sempat menangkap kesalahan yang dituturkan oleh dua orang penumpang di belakang saya. Saya mendengar mereka berbual-bual mengenai kerja. Antara dialog mereka yang saya dengar adalah seperti berikut:
            Penumpang A: kau  start mula kerja bila?
            Penumpang B : esok dah start dah
 Kesalahan yang saya dapat saya kesan di sini adalah penggunaan perkataan yang berbeza tetapi merujuk kepada maksud yang sama dengan menggunakan dua bahasa yang berbeza iaitu ‘start’ menggunakan bahasa Inggeris dan ‘mula’ menggunakan bahasa Melayu tetapi tetap merujuk kepada maksud yang sama. Di sini berlaku unsur  lewah dalam perbualan tersebut.

Monday, February 7, 2011

Bahasa untuk berkomunikasi

Kebanyakan orang-orang tua di kampung saya lebih selesa menggunakan bahasa siam(bahasa yang digunakan di bahagian selatan Thailand) untuk berbual-bual berbanding bahasa Melayu.  Semasa duduk berbual-bual bersama-sama beberapa orang jiran saya serta kedua ibu bapa saya, mereka banyak menggunakan bahasa siam berbanding menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi. Tetapi bagi ibu saya pula, dia hanya memahami apa yang dituturkan dalam bahasa siam tetapi untuk menuturkannya kembali agak sukar buat ibu saya. Oleh itu , ibu saya lebih selesa menggunakan bahasa Melayu untuk bertutur. Bahasa siam telah digunakan oleh kebanyakan orang-orang tua di kampung saya untuk berkomunikasi sejak dahulu lagi dan ini telah menjadi kebiasaan buat golongan ini tetapi kebanyakan anak-anak muda di kampung saya pula hanya boleh memahaminya tetapi tidak dapat menuturkannya denagn lancar termasuklah diri saya sendiri.

Tolong- menolong

Pada cuti pertengahan semester yang lalu saya sempat keluar untuk bercuti bersama keluarga di Pantai Merdeka. Semasa berada di sana saya turut menaiki bot untuk ke Tanjong Dawai, semasa ingin menuruni bot tersebut terdapat seorang mak cik ini berketurunan India dan membawa banyak barang di tangannya. Di sebelahnya ada juga seorang pemuda berketurunan Melayu dan pemuda tersebut dengan cepat menghulurkan pertolongan kepada mak cik tersebut setelah melihat mak cik tersebut memerlukan pertolongan untuk menuruni bot dengan membawa banyak barang. Antara dialog yang sempat saya denagr ialah:
Pemuda Melayu: boleh saya tolong mak cik? Susah ni nak turun dengan barang-barang yang banyak ni. Tak apa mak cik turun dulu nanti saya bawakan barang-barang mak cik.
Mak cik : Terima kasih nak.


Kesimpulannya jika hendak menolong seseorang tidaklah perlu dipandang jantina mahupun keturunan. Kita perlulah menghulurkan pertolongan jika melihat ada orang yang sangat memerlukan pertolonag kita tanpa memandang situasi ataupun apa sahaja.


Kerjasama tidak memandang kepada latar belakang

Semasa mengadakan program di Pondok Inabah iaitu tempat pemulihan bagi penagih-penagih dadah saya dan kawan-kawan saya diberi peluang untuk temu-bual penagih-penagih dadah ini. Apa yang saya banggakan ialah walaupun mereka merupakan penagih-penagih dadah tetapi mereka tetap memberikan kerjasama yang amat memuaskan dan menjawab setiap soalan yang kami ajukan. Di sini saya ingin katakan bahawa latar belakang seseorang itu tidak bererti mereka tidak dapat memberikan kerjasama jika kita memerlukan pertolongan mereka. Tutur kata  dan bahasa yang mereka gunakan juga amat sopan walaupun latar belakang mereka agak buruk sebelum ini.

Tuesday, February 1, 2011

Perbualan telefon


Sekitar pukul 2.00 pagi di kolej kediaman saya dikejutkan dengan satu perbualan telefon yang agak kuat dan menggunakan bahasa yang agak kasar. Perbualannya itu mampu mengejutkan orang yang sedang tidur dan ini dianggap kurang sopan ditambah pula dengan menggunakan bahasa yang agak kasar. Bahasa yang digunakan oleh pelajar ini dianggap kurang sopan kerana agak kasar didengar. Antara perbualannya berbunyi:
                “ woi hang tak kenai aku ka
                Haram sungguh hang ni aku pun hang wat tak kenai boleh na

Perbualan yang saya dengar ini agak kasar bunyinya dan nada yang digunakan juga agak kuat sehingga orang sedang tidur pun dapat terjaga. sebagai seorang perempuan pelajar itu seharusnya mengawal sedikit nada suaranya dan bahasa yang digunakan. kerana bahasa itu melambangkan juga keperibadian kita.

Adab ketika makan




Pada suatu malam saya dan dua orang kawan saya keluar makan di sebuah kedai makan di depan kolej. Semasa sedang makan kami terdengar perbualan sekumpulan pelajar perempuan ni, mereka berbuag dengan suara yang agak kuat dan ketawa sesuka hati tampa mempedulikan orang-orangbyang ada di dalam kedai makan tersebut. Saya perhatikan semua orang yang ada di dalam kedai makan tersebut mengelengkan kepala takkala melihat telatah pelajar-pelajar perempuan ini yang dilihat agak kurang sopan ketika makan. Mereka pula tidak mempedulikan orang-orang sekeliling yang memberikan tumpuan kepada mereka. Kesimpulannya kita mestilah mengawal tingkah laku kita ketika makan ataupun berada di tempat awam seperti di kedai makan kerana setiap yang kita lakukan pasti akan menjadi tumpuan orang ramai.

Bahasa sms atau sistem pesanan ringkas


Bahasa  yang digunakan oleh orang sekarang untuk menghantar sistem pesanan ringkas ataupun sms  sekarang adalah terlalu ringkas dan kadang kala susah untuk difahami, ini mungkin untuk menjimatkan masa untuk menulis sistem pesanan ringkas ataupun sudah menjadi kebiasaan. Buat remaja mungkin mereka mudah untuk memahami bahasa sms itu kerana mereka mungkin sudah biasa tetapi buat orang yang agak tua mereka mungkin kurang memahaminya kerana mereka agak kurang untuk menggunakan sistem pesanan ringkas untuk berhubung. Pada suatu hari kakak saya menerima satu pesanan ringkas atau sms dan yang dia sendiri tidak memahami perkataan-perkataan tertentu yang dihantar, lalu dia menunjukkan sms tersebut kepada saya dan saya terpaksalah menerangkan kepadanya. Setelah diterangkan maksud-maksud yang tidak difahami itu  barulah dia memahami maksud sms yang dihantar itu. Antara petikan sms itu berbunyi
                Ada x 6br fon….(nama seseorang)? Klu ada 6t tlng send kt owg jap k.
Kesimpulannya jika mahu menggunakan bahasa yang agak ringkas untuk menghantar sms perlulah lihat dahulu latar belakang orang yang akan menerima sms tersebut. Jika kepada orang yang sudah biasa dan memahami bahasa sms tersebut bolehlah menggunakan bahasa yang ringkas tersebut, tetapi seboleh-bolehnya gunalah bahasa yang betul walaupun hanya untuk menghantar sms ataupun sistem pesanan ringkas.